Monday, December 29, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430

Selamat menyambut tahun baru Islam 1430 Hijrah. Lupakan tahun yang lepas sama-sama kita hadapi cubaan dan dugaan tahun yang mendatang ini. Tahun baru masihi juga akan tiba beberapa hari lagi dan pastinya akan membawa satu lembarang baru bagi kita semua. Kehadiran tahun baru ini diharapkan membawa sinar baru kepada kita semua dan semoga lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Bagi saya, ini permulaan yang baru bagi meneruskan perjuangan ini. Banyak perkara baru yang akan saya lakukan dan akan saya capai. Biarlah apa yang berlaku sebelum ini hanya menjadi pengajaran berguna dan kegagalan sebelum ini biarlah menjadi kejayaan masa hadapan. Langkah pertamanya bermula tahun baru ini..
Telah terlalu lama sepatutnya hal yang baik-baik berlaku tapi sehingga kini semuanya masih lagi angan-angan. Hari ini,biarlah aku menjadi saksi kepada diri ini bahawa sisa hidup yang mendatang ini biarlah diabadikan untuk kejayaan yang sepatutnya. Ada insan lain yang bergantung harap terhadap diri ini,ada insan lain yang memerlukan diri ini..biarlah hari ini manjadi titik nokhta kepada kegelapan dan hari ini juga bermulanya hari baru yang ceria bermulanya kejayaan dalam hidup ini.. Aku juga berhak terhadap kebahagian,kekayaan,kesejahtera,keamanan dan ketenangan...

Wednesday, December 3, 2008

Kerajaan perlu drastik..

*nukilan ini keluar di berita harian pada 21 nov 2008. sekadar renungan

Setiap kali berlaku kemelesetan ekonomi,suda pasti golongan bawahan yang akan menjadi mangsa utama. Golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan tidak tetap inilah yang akan menghadapi tekanan paling teruk dan penerima kesan terakhir akibat kerakusan dan ketamakkan sebahagian manusia yang dianugerahkan dengan kekayaan. Perkara ini biasanya akan dinafikan oleh segolongan orang tanpa tujuan yang jelas,kemungkinan menyebunyikan sesuatu fakta yang bakal memalukan sessetengah pihak. Namun inilah hakikat,golongan kaya yang menghadapi kemelesetan hanya terpaksa meninggalkan beberapa gaya hidup mewah mereka sedangkan golongan miskin terpaksa mengikat perut.

Golongan petani,peladang dan penternak berskala kecil atau berkonsepkan sara-diri, biasanya menjadi mangsa dan menghadapi tekanan kemelut kemelesetan ini. Sebagai mewakili golongan ini atau lebih spesifik kepada pekebun kecil kelapa sawit, mereka merupakan mangsa kepada kemelut yang sepatutnya boleh di atasi jika benar-benar mahu ditangani. Pada masa ini harga ‘fresh fruit bunch’ atau ffb adalah pada harga yang amat rendah iaitu pada julat antara RM150 hingga RM250. Dengan harga serendah ini, mana mungkin para pekebun kecil ini boleh memperoleh keuntungan. Pada suatu masa dahulu iaitu sekitar awal tahun ini hinggalah pertengahan tahun 2008,julat harga ffb adalah RM500 hingga RM700. Pekebun kecil yang mempunyai keluasan ladang antara lima ke lima belas ekar pada masa tersebut boleh memperoleh keuntungan kerana harga yang berpatutan. Namun kini, penurunan harga ffb yang begitu mendadak tidak mampu dihadapi oleh pekebun kecil akibat kos penuaian dan penyelenggaraan yang tinggi berbanding dengan harga jualan. Ini membuatkan sebahagian pekebun kecil mengambil keputusan untuk tidak menuai hasil mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat. Walaubagaimanapun hakikat hidup tidak sebegini, mereka harus juga melakukan sesuatu sebagai kesinambungan hidup mereka. Lagipun saya percaya bahawa mereka mempunyai bebanan hutang terutamanya pinjaman bank untuk kenderaan pengangkutan yang dibeli ketika harga ffb begitu membrangsangkan. Tuntuan bank ini tidak akan faham terhadap permasalahan mereka,melainkan terus menerus dengan tuntutan dan ugutan saman mahkamah. Ini bakal menimbulkan masalah sosial kepada pekebun kecil dan juga institusi kekeluargaan mereka. Tidak mustahil jika ada rumahtangga yang musnah akibat daripada impak sosial ini.

Masalah ini bukan hanya melanda pekebun kecil juga mereka yang berada pada golongan pertengahan yang mempunyai ladang sawit yang beratus malah beribu ekar namun tidak mempunyai kilang sendiri. Golongan ini pasti yang paling malang kerana dalam masa yang sama mempunyai tanggungjawab besar menjaga kebajikan pekerjanya selain syarikat yang ditubuhkannya. Dalam keluasan yang besar sudah pastilah modal yang besar diperlukan dan pembiayaannya diperolehi daripada institusi kewangan. Bayaran yang tidak dijelaskan akan mengakibatkan kemungkinan mereka kehilangan tanah atau ladang yang dicagarkan. Impaknya adalah amat teruk dan bakal mengundang impak sosial kepada golongan masyrakat ini.
Baru-baru ini,kerajaan telah mengambil iniseatif untuk menghapuskan duti import bagi baja dan racun yang secara langsung dapat menurunkan harga barangan tersebut. Langkah ini adalah sesuatu yang baik tetapi ianya hanyalah penyelesaian sementara dan hanya sebahagian kecil masalah pekebun yang ditangani. Harus diingat bahawa pekebun kecil secara kasarnya tidaklah terlalu menggunakan bahan-bahan ini di ladang mereka kerana semenjak dahulu lagi semasa harga sawit masih tinggi,pekebun kecil memang jarang menggunakan bahan-bahan ini kerana mereka tidak mampu. Malah terdapat juga sebahagian yang tidak tahu-menahu akan penggunaan baja ini. Ini dapat dibuktikan dengan harga yang jualan mereka yang sentiasa pada harga gred c dan kadangkala gred b. Ini menandakan mereka tidaklah terlalu dibebani oleh harga baja ataupun racun, tetapi kos untuk menuai dan pengangkutan adalah masalah utama mereka. Dalam urusan buruh kelapa sawit, upah mengait tandan kelapa sawit adalah yang paling mahal berbanding program lainya misalnya menyembur racun atau membaja. Oleh yang demikian langkah kerajaan ini hanyalah menguntungkan syarikat-syarikat besar tetapi tidak pekebun kecil.

Langkah yang paling utama dan berkesan adalah dengan mengawal harga ffb. Namun begitu,kita faham bahawa kerajaan tiada kuasa mengawal harga ini kerana harga pasaran dunia yang menentukan segalanya. Dengan stok simpanan cpo yang dianggarkan sehingga 2 juta metric tan, memang kita perlu akur terhadap harga sekarang kerana permintaan yang semakin berkurangan daripada masyarakat antarabangsa. Cuma yang kita kesali adalah mengapa setelah berpuluh tahun kita menjadi pengeluar utama kelapa sawit dunia, kita masih tidak mempunyai mekanisme kawalan harga agar pekebun kecil kita dilindungi?
Harus diingat bahawa bagi syarikat besar yang mempunyai rangkaian kilang sehingga menjadikan sawit tersebut barang yang siap misalnya coklat, minyak masak, mentega dan sebagainya. Mereka ini tidak dipengaruhi oleh harga pasaran dunia kerana tidak memperdagangkan minyak mentah. Malah mereka mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana mahu tidak mahu pekebun kecil terpaksa juga menjual hasil mereka untuk kehidupan walaupun pada harga yang sangat rendah.
Saya tidak faham mengapa kerajaan tidak melabur pada sektor ini semenjak sekian lama, sedangkan prospek keuntungan dan hakikatnya adalah amat jelas. Banyak syarikat-syarikat besar negara yang menjadi kaya-raya melalui industri ini, malah sebahagian daripada syarikat ini melabur di negara jiran kerana mereka tahu prospek besar dalam sektor ini. Bebrapa GLC yang wujud amat terdedah kepada risiko yang tinggi tetapi kerajaan masih juga menyokong mereka sedangkan masih ada industri lain yang lebih menguntungkan dan memerlukan pembelaan kerajaan kerana sektor ini melibatkan rakyat dari golongan bawahan. Dengan suntikan modal yang begitu besar terhadap VALUECAP, mengapa tidak diberikan sebahagian modal tersebut kepada sektor pertanian. Tidak perlu terlalu besar yang penting ada infrastruktur yang boleh memproses bahan mentah menjadi barangan siap dan kemudian rangkaian pemasaran yang effektif supaya kerajaan tidak rugi apa-apa malah boleh mengaut keuntungan yang memuaskan. Langkah ini juga boleh digunakan untuk semua komoditi lain. Mengapa perlu menghantar bahan mentah keluar negara sedangkan kita boleh memproses bahan tersebut di negara ini,dan dengan itu banyak peluang pekerjaan baru yang boleh diwujudkan. Jika kerajaan benar-benar serius membela nasib rakyat miskin seperti kami, maka ambillah langkah drastik sebelum semuanya terlambat.

Pencarian tanpa akhiran


Dalam mencari ‘sesuatu’ dalam hidup,pelbagai rintangan yang perlu dihadapi sebelum sampai ke matlamat yang kita mahukan. Namun demikian, bukanlah semua yang kita idamkan itu akan tercapai,malahan seringkali hal sebaliknya akan berlaku. Bermacam-macam contoh berlaku di sekeliling kita. Kadangkala ramai di antara kita yang tewas apabila berhadapan dengan cabaran yang seringkali menewaskan kita. Tidak dinafikan ramai juga antara kita yang berjaya mencapai apa sahaja yang diidamkan dalam hidup. Cuma kadangkala tidak semua cara yang kita lakukan itu adil bagi kita mahupun orang lain.

Persoalan hidup seringkali memberi kita bermacam ilham untuk menghadapinya. Adakala ilham itu murni dan seringkali juga sesuatu yang diluar rona-rona kehidupan yang mulia. Biasanya tujuan menghalalkan cara. Hanya mereka yang benar-benar faham akan hakikat kenapa kita lahir di dunia ini yang aka nada kawalan diri untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang betul.

Sebenarnya, kita hadir di dunia ini hanyalah sementara dan sepatutnya tiada yang lebih mulia selain kita tahu matlamat hidup kita. Atau yang lebih penting adalah keikhlasan kita untuk hidup. Bukan hanya mengejar kebendaan semata-mata atau pengiktirafan di mata orang lain yang kita ini lebih baik daripada mereka. Yang penting, hidup kita bahagia dan kita selesa dengannya,bukan kah hanya itu yang kita perlu sebenarnya?

Jikalau kita faham hakikat hidup kita yang sebenarnya, dunia ini akan aman dan sejahtera. Sesungguhnya, kemusnahan di dunia ini adalah akibat kerakusan sebahagian kita yang diberi nikmat. Malah ada di antara kita yang sanggup menindas insan lain dengan bermacam jenis penipuan semata-mata hanya untuk kepuasan nafsu duniawi mereka. Insan yang agak kurang sempurna akalnya akan tertipu dan menerima akibat daripada kerakusan kita yang lebih bijak memanupulasi orang lain. Namun sampai manakah hujungnya, penyesalan pasti akan hadir satu hari nanti, sesungguhnya tuhan itu maha adil dan saksama.

Bagi mereka yang berkesempatan, eloklah sedar dan insafi diri kita. Pulangkan hak orang lain yang kita ambil, pohon kemaafan dari mereka. Dengan cara ini, hati akan lapang dan tenang. Hidup akan sempurna dengan hanya apa yang ada…