Wednesday, December 3, 2008

Kerajaan perlu drastik..

*nukilan ini keluar di berita harian pada 21 nov 2008. sekadar renungan

Setiap kali berlaku kemelesetan ekonomi,suda pasti golongan bawahan yang akan menjadi mangsa utama. Golongan masyarakat yang berpendapatan rendah dan tidak tetap inilah yang akan menghadapi tekanan paling teruk dan penerima kesan terakhir akibat kerakusan dan ketamakkan sebahagian manusia yang dianugerahkan dengan kekayaan. Perkara ini biasanya akan dinafikan oleh segolongan orang tanpa tujuan yang jelas,kemungkinan menyebunyikan sesuatu fakta yang bakal memalukan sessetengah pihak. Namun inilah hakikat,golongan kaya yang menghadapi kemelesetan hanya terpaksa meninggalkan beberapa gaya hidup mewah mereka sedangkan golongan miskin terpaksa mengikat perut.

Golongan petani,peladang dan penternak berskala kecil atau berkonsepkan sara-diri, biasanya menjadi mangsa dan menghadapi tekanan kemelut kemelesetan ini. Sebagai mewakili golongan ini atau lebih spesifik kepada pekebun kecil kelapa sawit, mereka merupakan mangsa kepada kemelut yang sepatutnya boleh di atasi jika benar-benar mahu ditangani. Pada masa ini harga ‘fresh fruit bunch’ atau ffb adalah pada harga yang amat rendah iaitu pada julat antara RM150 hingga RM250. Dengan harga serendah ini, mana mungkin para pekebun kecil ini boleh memperoleh keuntungan. Pada suatu masa dahulu iaitu sekitar awal tahun ini hinggalah pertengahan tahun 2008,julat harga ffb adalah RM500 hingga RM700. Pekebun kecil yang mempunyai keluasan ladang antara lima ke lima belas ekar pada masa tersebut boleh memperoleh keuntungan kerana harga yang berpatutan. Namun kini, penurunan harga ffb yang begitu mendadak tidak mampu dihadapi oleh pekebun kecil akibat kos penuaian dan penyelenggaraan yang tinggi berbanding dengan harga jualan. Ini membuatkan sebahagian pekebun kecil mengambil keputusan untuk tidak menuai hasil mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat. Walaubagaimanapun hakikat hidup tidak sebegini, mereka harus juga melakukan sesuatu sebagai kesinambungan hidup mereka. Lagipun saya percaya bahawa mereka mempunyai bebanan hutang terutamanya pinjaman bank untuk kenderaan pengangkutan yang dibeli ketika harga ffb begitu membrangsangkan. Tuntuan bank ini tidak akan faham terhadap permasalahan mereka,melainkan terus menerus dengan tuntutan dan ugutan saman mahkamah. Ini bakal menimbulkan masalah sosial kepada pekebun kecil dan juga institusi kekeluargaan mereka. Tidak mustahil jika ada rumahtangga yang musnah akibat daripada impak sosial ini.

Masalah ini bukan hanya melanda pekebun kecil juga mereka yang berada pada golongan pertengahan yang mempunyai ladang sawit yang beratus malah beribu ekar namun tidak mempunyai kilang sendiri. Golongan ini pasti yang paling malang kerana dalam masa yang sama mempunyai tanggungjawab besar menjaga kebajikan pekerjanya selain syarikat yang ditubuhkannya. Dalam keluasan yang besar sudah pastilah modal yang besar diperlukan dan pembiayaannya diperolehi daripada institusi kewangan. Bayaran yang tidak dijelaskan akan mengakibatkan kemungkinan mereka kehilangan tanah atau ladang yang dicagarkan. Impaknya adalah amat teruk dan bakal mengundang impak sosial kepada golongan masyrakat ini.
Baru-baru ini,kerajaan telah mengambil iniseatif untuk menghapuskan duti import bagi baja dan racun yang secara langsung dapat menurunkan harga barangan tersebut. Langkah ini adalah sesuatu yang baik tetapi ianya hanyalah penyelesaian sementara dan hanya sebahagian kecil masalah pekebun yang ditangani. Harus diingat bahawa pekebun kecil secara kasarnya tidaklah terlalu menggunakan bahan-bahan ini di ladang mereka kerana semenjak dahulu lagi semasa harga sawit masih tinggi,pekebun kecil memang jarang menggunakan bahan-bahan ini kerana mereka tidak mampu. Malah terdapat juga sebahagian yang tidak tahu-menahu akan penggunaan baja ini. Ini dapat dibuktikan dengan harga yang jualan mereka yang sentiasa pada harga gred c dan kadangkala gred b. Ini menandakan mereka tidaklah terlalu dibebani oleh harga baja ataupun racun, tetapi kos untuk menuai dan pengangkutan adalah masalah utama mereka. Dalam urusan buruh kelapa sawit, upah mengait tandan kelapa sawit adalah yang paling mahal berbanding program lainya misalnya menyembur racun atau membaja. Oleh yang demikian langkah kerajaan ini hanyalah menguntungkan syarikat-syarikat besar tetapi tidak pekebun kecil.

Langkah yang paling utama dan berkesan adalah dengan mengawal harga ffb. Namun begitu,kita faham bahawa kerajaan tiada kuasa mengawal harga ini kerana harga pasaran dunia yang menentukan segalanya. Dengan stok simpanan cpo yang dianggarkan sehingga 2 juta metric tan, memang kita perlu akur terhadap harga sekarang kerana permintaan yang semakin berkurangan daripada masyarakat antarabangsa. Cuma yang kita kesali adalah mengapa setelah berpuluh tahun kita menjadi pengeluar utama kelapa sawit dunia, kita masih tidak mempunyai mekanisme kawalan harga agar pekebun kecil kita dilindungi?
Harus diingat bahawa bagi syarikat besar yang mempunyai rangkaian kilang sehingga menjadikan sawit tersebut barang yang siap misalnya coklat, minyak masak, mentega dan sebagainya. Mereka ini tidak dipengaruhi oleh harga pasaran dunia kerana tidak memperdagangkan minyak mentah. Malah mereka mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana mahu tidak mahu pekebun kecil terpaksa juga menjual hasil mereka untuk kehidupan walaupun pada harga yang sangat rendah.
Saya tidak faham mengapa kerajaan tidak melabur pada sektor ini semenjak sekian lama, sedangkan prospek keuntungan dan hakikatnya adalah amat jelas. Banyak syarikat-syarikat besar negara yang menjadi kaya-raya melalui industri ini, malah sebahagian daripada syarikat ini melabur di negara jiran kerana mereka tahu prospek besar dalam sektor ini. Bebrapa GLC yang wujud amat terdedah kepada risiko yang tinggi tetapi kerajaan masih juga menyokong mereka sedangkan masih ada industri lain yang lebih menguntungkan dan memerlukan pembelaan kerajaan kerana sektor ini melibatkan rakyat dari golongan bawahan. Dengan suntikan modal yang begitu besar terhadap VALUECAP, mengapa tidak diberikan sebahagian modal tersebut kepada sektor pertanian. Tidak perlu terlalu besar yang penting ada infrastruktur yang boleh memproses bahan mentah menjadi barangan siap dan kemudian rangkaian pemasaran yang effektif supaya kerajaan tidak rugi apa-apa malah boleh mengaut keuntungan yang memuaskan. Langkah ini juga boleh digunakan untuk semua komoditi lain. Mengapa perlu menghantar bahan mentah keluar negara sedangkan kita boleh memproses bahan tersebut di negara ini,dan dengan itu banyak peluang pekerjaan baru yang boleh diwujudkan. Jika kerajaan benar-benar serius membela nasib rakyat miskin seperti kami, maka ambillah langkah drastik sebelum semuanya terlambat.

No comments: